ANTARA SEMALAM DAN HARI INI.

oleh:

Hassan Al-Banna

  1. RISALAH NABI YANG AMANAH

Sejak 1370 tahun yang lalu, Muhammad bin Abdullah, Nabi yang ummi telah menyeru di atas kemuncak bukit Sofa, Mekah, maksudnya:

“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya saya adalah pesuruh Allah kepada kamu sekelian, Tuhan yang memiliki seluruh langit dan bumi, tidak ada tuhan melainkan Dia, yang menghidupkan dan mematikan. Berimanlah kamu dengan Allah dan RasulNya, Nabi yang ummi yang telah beriman dengan Allah dan kalimahNya. Turutlah kamu sekalian kepadaNya moga-moga kamu mendapat petunjuk”. (Al-A’raf :158) 

Dakwah yang merangkum itu menjadi garis pemisah bagi seluruh alam. Pemisah antara zaman yang gelap gelita dengan zaman yang akan datang yang bersinar dengan cahaya dan bahagia abadi. Dakwah ini  juga menjadi satu pengisytiharan yang terang dan nyata terhadap satu sistem yang baru yang disyariatkan Allah yang amat mengetahui dan amat bijaksana. Ia disampaikan oleh pesuruhNya Muhammad saw, pembawa khabar gembira dan pengingat manusia bersama kitabNya al Quran yang terang dan bersinar, juga bala tenteranya yang dahulu yang terdiri daripada orang- orang muhajirin dan ansar dan pengikut-pengikut jejak langkah mereka dengan penuh ihsan. Dakwah ini bukan satu ciptaan manusia, ia adalah ciptaan Allah yang tidak ada ciptaan yang lebih baik selain dari-Nya. 

Firman Allah, maksudnya,

“Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah al kitab (al Quran) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu tetapi Kami menjadikan al Quran itu cahaya yang Kami beri petunjuk dengannya, siapa yang  Kami kehendaki di antara hamba Kami. Dan sesungguhnya Kami benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus (iaitu) jalan Allah yang kepunyaannya segala apa-apa yang ada di langit dan apa yang di bumi, ingatlah bahawa kepada Allahlah kembali semua urusan”.  (as Syura:52-53) 

  1. MANHAJ AL-QURAN DALAM MEMPERBAIKI MASYARAKAT.

Al Quran adalah penghimpun segala cara untuk membaiki masyarakat. Ia telah diturunkan ke atas Nabi saw. Ianya dibacakan kepada orang-orang mukmin dari masa ke semasa menurut keadaan, suasana dan sempena.

Firman Allah, maksudnya.

“Demikianlah supaya kami perkuat hati mu denganNya dan Kami (menurunkanNya) dan membacakanNya kelompok demi kelompok. Tidaklah orang-orang kafir itu datang kepadamu (membawa  sesuatu yang ganjil) melainkan Kami datangkan kepada mu suatu yang benar dan yang paling baik penjelasannya”.  (al Furqaan:32-33). 

Apabila sempurna wahyu itu diturunkan dan dipelihara di setiap dada dan pada mashaf-mashaf dalam masa lebih kurang dua puluh dua tahun, Allah telah kumpulkan di dalamnya penjelasan tiap-tiap perkara untuk umat ini. Dasar-dasar  pembaikian dan pengislahan masyarakat yang sempurna yang didatangkan oleh al Quran itu berlegar dibawah qaidah-qaidah ini:

1)      Ketuhanan (Rabbaniah).

2)      Ketinggian jiwa manusia.

3)      Peneguhan aqidah terhadap adanya pembalasan.

4)      Pengisytiharan persaudaran di kalangan manusia.

5)      Membangunkan seluruh laki-laki dan wanita serta pengisytiharan tanggungjawab dan persamaan di antara keduanya serta penentuan tugas masing- masing secara detail.

6)      Jaminan untuk masyarakat dengan penetapkan hak-hak kehidupan, pemilikan, kerja, kesihatan, kebebasan, pelajaran, keselamatan individu dan penentuan sumber laba.

7)      Memelihara dua kehendak semulajadi; keinginan memelihara jiwa dan memelihara keturunan dengan mengatur keinginan perut dan seks.

8)      Keras dan kesungguhan dalam memerangi jenayah-jenayah berat.

9)      Menguatkan kesatuan umat ini menghapuskan seluruh unsur-unsur dan sebab yang membawa perpecahan umat.

10)   Mewajibkan umat supaya berjihad dalam menegakkan prinsip-prinsip kebenaran yang didatangkan oleh sistem ini.

11)   Menjadikan negara sebagai wakil kepada fikrah Islam dan negara bertanggungjawab melindunginya. Negara juga bertanggungjawab untuk melaksanakan matlamatnya dalam masyarakat yang khusus(Negara Islam) dan menyampaikan fikrah ini kepada seluruh manusia.

  1. SYIAR-SYIAR PRAKTIK BAGI SISTEM INI.

Sistem al Quran ini berbeza dengan segala sistem dan teori-teori falsafah ciptaan manusia. Ia  tidak membiarkan segala dasar dan ajaranNya tinggal sebagai teori sahaja dalam diri manusia  atau juga tidak sebagai pendapat-pendapat dalam buku-buku atau sebagai kata-kata di bibir  mulut sahaja.

Dasar Islam disyariatkan untuk ditumpu, diperkukuh dan dimanfaatkan kesan dan hasilnya  sebagai interpretasi yang praktik. Umat yang beriman dan mempercayainya mesti bersungguh- sungguh melaksanakan kerja ini. Ianya hendaklah dianggap sebagai suatu kefardhuan dan  mereka yang meremeh-remehkannya tidak boleh dipandang ringan. Orang yang  melaksanakannya akan diberi pahala dan mereka yang meninggalkannya akan dibalas dengan  balasan yang mungkin boleh mengeluarkan mereka dari masyarakat Islam.

Di antara tanggungjawab penting dalam sistem ini yang dijadikan sebagai satu tembok untuk  pemusatan prinsip-prinsipnya ialah:

1)      Sembahyang, zikir, taubat, istighfar dsbnya.

2)      Puasa, menjaga diri, beringat dari boros.

3)      Zakat, sedekah dan berbelanja di jalan kebaikan.

4)      Haji, melancung, mengembara, menyelidik dan memerhati kerajaan Allah.

5)      Berusaha, bekerja dan menjauhi dari meminta.

6)      Jihad, berjuang, menyediakan pejuang dan menjaga keluarga pejuang serta kebaikan mereka di kala mereka berjauhan.

7)      Amar ma’ruf dan memberi nasihat.

8)      Mencegah dari yang mungkar, pemulauan orang ramai terhadapnya dan orang-orang yang melakukannya.

9)      Menambah ilmu pengetahuan setiap muslim dan muslimat dalam berbagai bidang hidup yang sesuai untuk mereka.

10)   Baik pergaulan dan berakhlak dengan akhlak yang baik.

11)   Sentiasa menjaga keselamatan tubuh dan memelihara pancaindera.

12)   Ikatan yang baik di antara pemerintah dengan rakyat dengan menjaga dan taat.

 Setiap Muslim dituntut mempraktikkan kewajipan ini dan memperjuangkannya sebagaimana ia  telah di terangkan oleh sistem al Quran. Setiap Muslim jangan sekali-kali mencuaikannya walau  satu daripadanya. Kesemua kewajipan ini telah disebutkan di dalam al Quran. Segala amalan  Nabi saw dan para sahabat menerangkan pelaksanaan ini dengan jelas dan terang. Tiap-tiap  amal tersebut mengukuh dan tertumpu kepada prinsip-prinsip sistem Islam yang kesemuanya  memberi faedah kepada seluruh manusia.

  1. NEGARA ISLAM YANG PERTAMA.

Di atas dasar sistem al Quran ini, tertegaklah sebuah negara Islam yang pertama. Ianya sebuah negara yang beriman benar-benar dengan al Quran, melaksanakan segala ajarannya dengan  penuh rapi dan kemudiannya menyebarkannya pula ke seluruh dunia.

Khalifah Islam yang pertama(Abu Bakar ra) pernah berkata “Jika seutas tali pengikat unta hilang pun dari jagaan saya, saya akan dapatinya dalam Al-Quran”. Beliau telah memerangi orang-orang yang enggan mengeluarkan zakat dan menyifatkan mereka  itu sebagai murtad kerana meruntuhkan salah satu rukun sistem ini. Beliau mengatakan, “demi  Allah kalau mereka itu enggan menunaikan kepada ku seutas tali pengikat unta seperti yang telah  ditunaikan kepada Rasulullah saw, pasti aku akan perangi mereka selagi pedang masih berada di tangan ku”.

Kesatuan yang sepenuhnya tercerna dalam ummah yang baru lahir ini. Kesatuan masyarakat  tercerna dalam kerangkuman seluruh sistem al Quran dan bahasa Al-Quran dikalangan mereka.  Kesatuan politik terangkum di bawah naungan Amirulmukminin dan lambaian panji-panji  khalifah di ibu negara. Idea Islam tidak berlegar dalam tentera sahaja atau di Baitul Mal atau  pada tindak laku pemerintah sebab mereka semua bekerja dalam satu aqidah dan dengan arahan  yang satu dan menyeluruh.

Prinsip al Quran ini telah berjaya menghapus dan menghalau keluar fahaman-fahaman  keberhalaan yang khurafat di Semenanjung tanah Arab dan Farsi. Yahudi penipu juga telah  dihalau dan kekuasaan agama dan politik mereka dilenyapkan. Prinsip dan dasar Al-Quran ini  juga telah berjuang menentang fahaman Kristian sehingga terhapus dari benua Asia dan Afrika  dan terpaksa berlindung di bawah naungan kerajaan Rum timur di Konstantinopel. Dengan ini  dua benua yang besar ini telah memusatkan seluruh kuasa spiritual dan politiknya kearah  kerajaan Islam. Dasar Islam ini seterusnya juga telah berusaha memerangi benua ketiga (benua  Eropah) iaitu menyerang Konstantinopel dari Timur dan mengepungnya dengan bermatian dan  menyerangnya (benua Eropah) dari barat dengan menawan Andalus. Bala tentera Islam telah  berjaya sampai ke tengah Perancis serta utara dan selatan Itali. Ia juga telah mendirikan sebuah kerajaan yang agung di Eropah Barat yang bersinar dengan ilmu dan peradaban. Kemudian  barulah Konstantinopel sempurna di buka dan Kristian diletakkan di sudut yang kecil di tengah  Eropah. Kapal laut tentera Islam belayar hebat di dua lautan iaitu lautan Mediteranean dan laut  Merah yang mana kedua lautan itu menjadi tasik Islam. Tentera laut negara Islam memegang kunci laut di timur dan di barat dan seluruh kekuasaan darat dan laut berada di tangan Islam.

Implikasi dari ini umat Islam dapat berhubung dengan bangsa-bangsa lain. Umat Islam berjaya  memindahkan kebanyakan tamadun dunia tetapi dengan kawalan kekuatan iman dan prinsip   peraturannya. Seluruh tamadun itu telah diubahsuai dengan kehendak-kehendak Islam dengan  mengekalkan keindahan dan kehebatannya. Islam tidak menegah dari mengambil faedah   tamadun itu selagi ianya tidak mengganggu kesatuan politik dan masyarakat ummat Islam.

  1. FAKTOR-FAKTOR YANG MENGHANCURKAN NEGARA ISLAM.

Di dalam kekuatan hebat dan tanah yang meluas  ini, faktor-faktor merungkai mula meresap ke  dalam kehidupan umat al Quran ini. Faktor ini membesar dan berkembang sedikit demi sedikit  sehingga akhirnya telah merobek Daulah Islam ini dengan hancurnya pusat kerajaan Islam pada  kurun ke 6 Hijrah di tangan Tartar. Sekali lagi ianya berlaku pada kurun 14 Hijrah (Kejatuhan  Khalifah Othmaniah). Peristiwa ini meninggalkan kesan yang amat buruk. Umat Islam  bertaburan dan negara Islam menjadi negeri-negeri kecil.

Faktor-faktor yang menjadikan demikian:

1)      Perpecahan politik, asabiyyah (fanatik), berebut pangkat dan kepemimpinan. Sedangkan Islam telah  memberi amaran keras dalam masalah ini. Islam telah mengingatkan supaya menjauhkan diri  dari kepimpinan. Islam berulang kali menarik perhatian umatnya bahawa inilah faktor yang  merosak dan menghancurkan mana-mana rakyat dan negara. Allah berfirman, maksudnya;

“…dan janganlan kamu bertelagah, nescaya kamu akan gagal dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar” (al Anfal :46).

Disamping itu Islam juga sangat  berpesan supaya ikhlas kerana Allah semata-mata dalam percakapan, perbuatan dan hindarkan  dari suka kemasyhuran dan pujian.

2)      Perbezaan pandangan dalam agama dan mazhab, menyeleweng dari agama yang sepatutnya aqidah dan  amalan tetapi bertukar menjadi cakap-cakap dan istilah kaku yang mati. Kecuaian terhadap kitab Allah, sunnah Rasulullah saw, jumud dan fanatik terhadap pendapat dan kata-kata seseorang, suka bertengkar  dan berdebat sedangkan semua perkara ini ditegah oleh Islam. Rasulullah saw bersabda, maksudnya “Tidak sesat sesuatu kaum itu selepas mereka mendapat hidayat kecuali oleh kerana mereka suka bertengkar”.

3)      Tenggelam dalam pelbagai kemewahan dan kenikmatan, suka berhiburan dan keseronokan. Ianya  berlaku begitu dahsyat pada pemerintah-pemerintah Islam lebih dari apa yang berlaku kepada  pemerintah bukan Islam. Padahal mereka  telah membaca firman Allah, maksudnya;  “Dan jika  kami hendak membinasakan negeri, maka kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di  negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu. Maka sudah  sepatutnya berlaku terhadapnya ketentuan kami dan kemudian kami hancurkan negeri itu sehancur- hancurnya”. (al Isra’:16)

4)      Peralihan kuasa dan pimpinan kepada bukan Arab; samada kepada Farsi, Dailam (suku Kurd),  Mamalik, Turki dll. Kebanyakan mereka ini tidak pernah merasa kemanisan Islam yang sebenar. Hati-hati mereka tidak dapat disinari oleh cahaya al Quran disebabkan kesukaran memahami  maksud-maksudnya. Sedangkan mereka telah membaca firman Allah, maksudnya,  “Hai orang- orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaan mu orang-orang yang di luar  kalangan mu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagi mu. Mereka  menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang  disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepada mu ayat- ayat (Kami) jika kamu mahu memahaminya”. (Al Imran :118)  Mengabaikan ilmu-ilmu teknologi dan sains sebaliknya menghabiskan masa dengan teori falsafah dan  ilmu-ilmu khayal yang mandul. Sedangkan Islam mengesa mereka supaya mengkaji, menyelidik segala rahsia-rahsia kejadian, meneroka di muka bumi dan berfikir tentang makhluk Allah  sebagaimana firman Allah, maksudnya; “Katakanlah, perhatikanlah apa yang ada di langit dan bumi”.  (Yunus:101).

5)      Sikap pemerintah yang tertipu dengan kekuatan sendiri dan cuai untuk mengkaji perkembangan  masyarakat lain sehingga mereka ketinggalan dalam persiapan dan persediaan yang mana akhirnya  mereka telah di cakup sekali gus. Al Quran  telah memerintahkan mereka supaya sentiasa  berwaspada dan jangan lalai. Ia mensifatkan orang-orang yang lalai dan cuai tak ubah seperti  binatang bahkan lebih sesat dari itu. Firman Allah, maksudnya; “Dan sesungguhnya Kami jadikan  untuk (isi neraka jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tetapi tidak di  pergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak di  pergunakannnya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat- ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang- orang yang lalai” (al-A’raf:179). 

6)      Terpedaya dengan tipu muslihat musuh yang manis di bibir. Mereka merasa kagum dengan carakerja dan kemewahan hidup kuffar musuh. Mereka terburu-buru meniru kuffar tanpa mengira baik buruk.

Sedangkan al-Quran sangat menegah muslimin dari meniru atau menyerupai kuffar. Al-Quran  terus terang memerintah supaya tidak menyerupai kuffar dan perlunya memelihara ciri-ciri  identiti Islam. Firman Allah, maksudnya;  “Hai orang-orang yang beriman, jika kamu mengikuti  sebahagian dari orang-orang yang al Kitab nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang kafir  sesudah kamu beriman” (aL-Imran:100). Di ayat yang lain, maksudnya;  “Hai orang-orang yang  beriman, jika kamu taati orang-orang itu nescaya mereka mengembalikan kamu ke belakang (kepada  kekafiran) lalu kamu menjadi orang yang rugi” (aL-Imran:149)

  1. PERTARUNGAN POLITIK
  2. Cubaan menghancurkan umat Islam.

Faktor-faktor yang disebutkan tadi mula menyengat dan melemahkan daulah dan umat. Bangsa- bangsa (musuh Islam) yang sentiasa mengekori mereka menjangka inilah peluang untuk  membalas dendam dan menghapuskan negara dan umat Islam yang merosakkan mereka selama  ini. Turunlah bangsa Tartar (Monggol                 seperti air banjir ke negara Islam. Tartar memotong badan umat Islam sepotong-potong dan akhirnya mereka pun sampai ke Baghdad,  ibu kota kerajaan Abbasiyyah. Mereka memijak badan khalifah Musta’sim dengan kasut mereka.

Dengan ini berkecailah untaian negara Islam dan bertaburanlah ikatan khalifah buat pertama kalinya. Seluruh umat Islam berpecah menjadi  negara-negara yang kecil dan setiap kabilah mempunyai amirulmukminin dan mimbarnya sendiri.

Kristian di Eropah mula perasan dan mengumpulkan sekutu-sekutu mereka. Akhirnya melalui sembilan kali serangan (Peperangan Salib), mereka berjaya menendang Islam jauh ke Asia dan Afrika). Mereka berjaya mendirikan negara Kristian di Baitul Maqdis dan menggugat seluruh umat Islam, timur dan barat. Mereka juga cuba menyerang Mesir yang merupakan negara Islam yang terkuat pada masa itu.

  1.  Kemenangan berterusan.

Walaupun bathil telah mengalahkan haq tetapi Allah tidak mengizinkan lebih dari itu. Mesir telah berjaya mengumpulkan saki baki tentera dari negara-negara kecil Islam dan di bawah pimpinan Salahudin al Ayyubi, Baitul Maqdis dapat di kembalikan semula. Diperlihatkan juga kekalahan kristian di Hittin. Kemudian tentera  Islam ini berdiri gagah di hadapan Tartar di bawah pimpinan Sultan Zahir Baybars dan berjaya mengalahkan mereka di Ain Jalut. Selepas ini sistem khalifah pun di hidupkan semula. Allah menghendaki selepas peristiwa-peristiwa ini Islam kembali tegak sebagai sebuah negara dan pelindung yang mempunyai kekuatan dan paling ditakuti yang dapat menyatukan seluruh umat dan rakyatnya di bawah panji-panjinya.

Semangat muslimin yang tinggi terus menerus  dan terus mara memerangi Kristian di bumi mereka. Konstantinopal pun dibuka dan kuasa  Islam menjangkau ke tengah benua Eropah sehingga ke Vienna (Austria). Inilah dia negara Turki Othmaniah.

  1.  Bibit-bibit kebangkitan Eropah.

Di bawah kerajaan Othmaniah, negara Islam menjadi tenang dan tertidur. Akhirnya mereka lalai dari apa yang berlaku sekeliling. Tetapi Eropah yang telah dapat mengambil sinar Islam (ilmu dan tamaddun) dari sebelah Barat (Sepanyol) dan dari sebelah timur melalui angkatan perang salibnya tidak pernah melepaskan peluang, tidak pernah cuai dan mengambil manfaat dan pelajaran yang lalu. Mereka mula memperkuatkan diri dan berkumpul di bawah panji-panji Eropah di Portugal. Mereka berjaya menahan kemaraan gelombang Islam di Barat dan berjaya pula menaburkan bibit perpecahan dan bercakaran sesama sendiri di kalangan umat Islam Sepanyol. Akhirnya mereka berjaya melontar umat Islam ke seberang laut (ke seberang Afrika).

Sebagai ganti, sebuah negara baru Sepanyol Kristian telah bangkit. Eropah terus bersatu, berfikir, belajar, mengelilingi negeri-negeri dan meneroka negeri-negeri. Hingga penemuan Amerika sendiri adalah hasil usaha Sepanyol dan penemuan jalan ke India pula adalah hasil penerokaan Portugis.

Timbul di kalangan mereka suara-suara lantang untuk pembaharuan lalu lahir ramai reformis masyarakat. Eropah juga telah mempelajari  ilmu-ilmu dunia dan pengetahuan yang dapat menelurkan hasil. Dari revolusi-revolusi pembaharuan ini terbentuklah fahaman kebangsaan dan negara yang kuat yang kesemuanya bermatlamat untuk menghancurkan negara Islam. Negara-negara baru ini telah membentuk beberapa pakatan yang dianggap suci.

  1.  Serangan baru.

Di bawah dasar penerokaan dan pengembaraan, kuasa Eropah telah menjangkau sepanjang-panjangnya sehingga ke negara Islam yang jauh seperti India dan negeri Islam di sekitarnya. Kristian Eropah berusaha bersungguh-sungguh untuk menghancurkan negara-negara Islam. Untuk tujuan itu mereka telah meletakkan berbagai rancangan kadang-kadang digambarkan dengan “masalah Timur” dan kadang-kadang dengan “pembahagian peninggalan harta orang sakit”.

Setiap negara Eropah mengambil peluang dan mencipta sebab-sebab remeh dan menyerang negara yang terdedah nyanyok itu. Bermulalah sedikit demi sedikit anggota-anggotanya berkurangan dan terus runtuh. Serangan ini berterusan memakan masa yang panjang. Banyak negara-negara Islam terlucut dari kerajaan Othmaniah dan jatuh ke dalam kuasa Eropah seperti negara Afrika Barat (Morokko, Algeria dll) dan Eropah Utara. Beberapa negara-negara bukan Islam yang tertakluk di bawah kuasa kerajaan Othmaniah seperti Yunan (Greek) dan negara-negara Balkan juga memerdekakan diri mereka. Pusingan penutup dalam krisis ini dengan munculnya Perang Dunia I pada tahun 1914-1918 M yang membawa kekalahan kepada Turki dan sekutu-sekutunya. Dengan ini ia telah memberi kesempatan yang seluas-luasnya kepada bangsa Eropah yang terkuat di masa itu (England dan Perancis) dan disertai Itali meletakkan tangannya ke atas pesaka yang paling banyak itu ialah umat Islam dan rakyat-rakyatnya.

Negara-negara tersebut telah meluaskan kuasanya dalam berbagai nama seperti penaklukan, penjajahan, pengawasan dan perwakilan. Mereka telah membahagi negara-negara Islam seperti berikut;

a)      Afrika Utara (Maghribi, Algeria dan Tunis)menjadi jajahan Perancis. Diselang seli dengan Tanger yang berada di bawah kuasa antarabangsa dan jajahan Sepanyol di kampung-kampung.

b)      Libya di jajah oleh Itali. Itali tidak mahu langsung kesan-kesan Islam kekal wujud di situ. Ia telah memaksa penduduk di situ menjadi warganegara Itali dan dinamakannya sebagai Itali selatan. Di situ juga dicampakkan beribu-ribu orang tawanan yang berkebuluran dan manusia-manusia jahat.

c)       Mesir dan Sudan di bawah naungan Inggeris.

d)      Palestin berada di bawah jajahan Inggeris untuk dijualkan kepada Yahudi bagi mendirikan negara kebangsaan mereka.

e)      Syria di bawah jajahan Perancis.

f)       Iraq menjadi tanah jajahan Inggeris.

g)      Hijaz (Mekah dan Madinah) menjadi sebuah kerajaan yang sangat lemah sentiasa menunggu sedekah dan mengharap kepada janji-janji palsu dan perjanjian-perjanjian yang tidak laku dari Eropah.

h)      Yaman pula sebuah kerajaan yang tinggal  hanya rangka-rangka, rakyatnya papa dan terancam dengan peperangan di setiap tempat dan masa.

i)        Di bahagian lain dari seluruh semenanjung Arab pula, yang tinggal hanya negeri-negeri yang kecil di mana amir-amirnya hidup di bawah ketiak konsol-konsol Inggeris. Mereka berjuang dengan cebisan-cebisan makanan dari meja makan Inggeris. Sesama mereka penuh menyala hasad dengki dan benci. Kuasa Berikat telah memberikan janji kemerdekaan kepada bekas Raja Semenanjung Arab; Malik Husin dengan syarat menolong mereka menghapuskan kuasa khalifah Othmaniah.

j)        Iran dan Afghanistan adalah kerajaan-kerajaan yang sentiasa bergolak dan menjadi rebutan sesama mereka.

k)      India menjadi jajahan Inggeris.

l)        Turkistan dan sekitarnya menjadi jajahan Rusia yang ditekan dengan dahsyatnya.

Selain dari ini terdapat beberapa golongan minoriti Islam yang bertaburan di beberapa negara yang tidak mendapat sebarang tempat untuk berlindung seperti orang-orang Islam di Habsyah (Ethopia), Cina, Balkan, Afrika tengah, barat dan timur.  Dengan apa yang berlaku ini, Eropah boleh dikatakan berjaya dalam pertarungan politik. Mereka berjaya merobek empayar Islam, berjaya menghapuskan negara Islam dan menyingkirkannya secara politik dari senarai negara-negara besar.

  1.  Ke arah kekuatan baru.

Kezaliman yang jelas berlaku dan perjanjian bohong yang menyenak dada itu telah membangkitkan jiwa-jiwa umat ini. Mereka mula bangun menuntut kemerdekaan dan berjuang mengembalikan kebebasan dan keagungannya. Api revolusi terus menyala. Turki, Mesir, Iraq dan Syria telah bangun memberontak. Keadaan yang sama berlaku di Palestin dan Rif Maghribi.

Kesedaran terus berkembang dan hasilnya umat  Islam berjaya mencapai beberapa hak mereka. Maka merdekalah Turki dalam sempadannya yang baru, Mesir dan Iraq di kira sebagai 2 buah negara yang merdeka, Hijaz dan Nejd menjadi  Negara Saudi. Yaman, Iran dan Afghanistan berjaya mengekalkan kawasan bebas, Syria hampir berjaya mendapatkan pengiktirafan kemerdekaannya. Perjuangan Palestin telah berjaya menarik perhatian dunia. Umat Islam telah berjaya mengatur langkah yang baik -sekali pun lambat – ke arah beberapa matlamat murni untuk mengembalikan kebebasan dan keagungan dan membangunkan negara mereka.

  1. Perang baru.

Negara-negara Eropah telah keluar dari kancah perang dunia tetapi bibit dengki dan benci masih berakar umbi di dalam dada mereka. Perjanjian-perjanjian damai telah memberikan satu tamparan hebat bagi kebanyakan negara-negara ini. Keadaan ini telah membawa kepada lahirnya idea-idea baru dan prinsip-prinsip fanatik yang ekstrim. Ini sudah tentu akan berkesudahan di kalangan bangsa ini (Eropah) satu krisis baru dan perang yang akan menghancur lebur kesatuan mereka dan akan menyedarkan semula mereka bagi membuang kezaliman yang mereka lakukan itu. Umat Islam sekali lagi di kurniakan peluang untuk menyatukan barisan mereka dan berkumpul, melengkapkan kemerdekaan mereka dan mengembalikan negara dan kesatuan mereka di bawah panji-panji Amirul-Mukminin. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi) (al Qasas:5).

  1. PERTARUNGAN SOSIAL

Seluruh umat Eropah telah berjaya berkomunikasi dengan masyarakat Islam Timur melalui perang-perang salib dan di Barat melalui perhubungan dengan umat Islam Andalus.Perhubungan itu bukan saja menguatkan kesatuan politik mereka tetapi mereka mendapat faedah sampingan lain iaitu kesedaran mental dan pemikiran. Mereka mengambil pelbagai ilmu pengetahuan yang begitu banyak dari Islam. Hasilnya telah lahir kebangkitan ilmu pengetahuan yang hebat. Pihak gereja telah bangun menyanggah fenomena ini dengan segala kekuatannya. Para sasterawan dan saintis telah dikenakan dengan pelbagai siksa. Orangramai dirangsang supaya sama-sama menentang saintis  ini. Tetapi kesemuanya ini sia-sia belaka.

Kebangkitan ilmu akhirnya berjaya dengan penuh kemenangan. Dengan kebangkitan ini, negara Eropah telah sedar dan sebaliknya telah menentang gereja. Dengan kebangkitan ini juga masyarakat Eropah telah menghapuskan sama sekali kuasa gereja dan meletakkan ahli gereja di tempat ibadat dan pertapaan sahaja. Mereka juga  telah memaksa Pope tinggal di Kota Vatican.

Masyarakat Eropah telah membatasi kerja ahli-ahli agama hanya berhubung dengan beberapa lingkungan kehidupan yang kecil. Mereka tidak boleh keluar dari lingkungan ini. Agama Kristian di Eropah hanya tinggal menjadi sebagai satu pesaka sejarah dan sebagai satu faktor mendidik rakyat biasa. Ia juga hanya sebagai satu jalan untuk menguasai, menjajah dan menghancurkan pengacau-pengacau politik.

Ruang sains semakin meluas di kalangan masyarakat Eropah. Penciptaan dan jumpaan baru mula berkembang. Jentera-jentera mula menggandakan pengeluaran. Kehidupan mula berwajah baru, iaitu kehidupan industri. Serentak dengan ini negara mula menjadi kuat, kuasanya menjangkau ke negara-negara lain. Dunia telah berpaling mengadap Eropah dan mencurahkan segala hasil kepadanya. Segala harta benda datang melimpah dari segenap tempat. Dengan ini tidak dapat di sangkal lagi bahawa kehidupan Eropah dan tamadunnya terus bertunjang kepada penyingkiran agama kehidupan masyarakat lebih-lebih lagi dari negara, kehakiman dan sekolah.

Pandangan kebendaan menjadi keterlaluan dan dijadikan sebagai ukuran dalam setiap perkara.  Berikutan ini, fenomena tamadun ini adalah materialistik yang meruntuhkan segala ajaran agama langit (Islam, Kristian dan Yahudi). Ianya jelas bertentangan dengan asas Islam yang menjadikan kesatuan roh dan jasad sebagai asasnya.  Antara petanda-petanda penting yang sentiasa wujud dalam tamadun barat ialah:-

a)  Atheis dan ragu kepada Allah, tidak mempercayai ruh, melupakan balasan akhirat dan hanya berdiri dalam lingkungan alam kebendaan yang boleh di rasa sahaja. Firman Allah yang bermaksud,  “Mereka hanya mengetahui yang lahir (sahaja) dari kehidupan dunia sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai” (ar-Rum:7).

b)  Tiada batasan dalam semua perkara, berebut-rebut kelazatan, mempelbagaikan kenikmatan, merombak tabi’e alam dari undang-undangnya, memenuhi syahwat perut dan kemaluan, menghias wanita dengan berbagai rupa yang menarik, menghancurkan jasad dan akal, menghapuskan sistem keluarga dan meruntuh kebahagian rumahtangga. Firman Allah, maksudnya,  “Dan orang-orang kafir itu bersenang-senang di dunia dan mereka makan seperti makannya binatang-binatang. Dan neraka adalah tempat tinggal mereka” (Muhammad:12).

c)  Mengagungkan individu. Setiap manusia hanya mahu kepentingan diri sahaja. Dalam kelas dan darjat, setiap cuba meninggi dari yang lain dan masing-masing cuba mendapatkan harta dengan menghalangi kelas-kelas yang lain. Di peringkat bangsa-bangsa, setiap bangsa fanatik dengan bangsanya dan bukan hanya cuba merendahkan bangsa-bangsa lain, bahkan ia cuba menelan bangsa-bangsa yang lebih lemah daripadanya.

d)  Riba. Ianya diterimapakai dan dianggap salah satu cara muamalat. Ianya disebarkan kepada semua orang dan semua negara dengan dipelbagaikan bentuk dan jenisnya.  Manifestasi kebendaan ini telah melahirkan keruntuhan jiwa, kelunturan akhlak dan ketidaksungguhan untuk memerangi segala jenayah. Masalah-masalah bertimpa-timpa, timbul berbagai prinsip dan ideologi yang meruntuhkan dan lahir pemberontakan yang menghancurkan. Sistem ekonomi, masyarakat dan politik tidak pernah mantap. Negara berpecah kepada puak-puak dan parti dan akhirnya orang ramai berbunuh-bunuhan sesama sendiri kerana tamak dan dendam. Ternyata tamadun  moden ini tidak berjaya sama sekali untuk menjamin kedamaian dan keharmonian masyarakat manusia. Ia gagal memberikan kebahagiaan kepada manusia sekalipun pintu ilmu pengetahuan telah di buka kepada mereka. Pencapaian kuasa dan kekuatan untuk mereka hanya berlalu untuk satu kurun sahaja.

  1. CENGKAMAN KEBENDAAN KE ATAS NEGERI ISLAM.

Orang-orang Eropah berusaha bersungguh-sungguh untuk menenggelamkan seluruh negara Islam dengan gelombang hidup  kebendaan ini. Dalam masa yang sama mereka berusaha menghalang segala faktor-faktor kebangkitan dan kekuatan – ilmu pengetahuan, sains, perkilangan dan sistem yang berfaedah – agar  tidak terlepas ke tangan umat ini. Mereka memperkukuhkan rancangan “serangan sosial” ini dengan bantuan tipu helah politik dan kuasa tentera sehingga tercapai apa yang dikehendaki.

Pembesar-pembesar umat Islam telah diumpan dengan hutang, kerjasama dan segala kemudahan. Dengan ini mereka telah berjaya mendapatkan hak campurtangan ekonomi dan akhirnya menenggelamkan negeri umat Islam  dengan segala modal, bank-bank dan syarikat-syarikat mereka. Di tambah pula mereka sendiri yang menguruskan segala kerja-kerja ekonomi itu mengikut kehendak dan memonopoli segala keuntungan dan kekayaan yang melimpah ruah.

Akhirnya mereka berjaya merubah corak pemerintahan, undang-undang dan pelajaran menurut corak politik, undang-undang dan kebudayaan mereka walaupun di negara Islam yang paling kuat.

Mereka juga telah mengimpot ke negara Islam  ini wanita-wanita separuh bogel mereka, segala jenis arak, teater, kelab malam, tempat-tempat  hiburan, cerita-cerita, novel-novel, khayalan-khayalan, mainan dan gurauan mereka. Di samping itu mereka benarkan di negara Islam segala jenis jenayah yang tidak dibolehkan di negara mereka. Mereka telah menghiaskan dunia ini dengan kebisingan suara-suara dosa dan memalitkan noda di mata hartawan-hartawan Islam, orang-orang yang berpengaruh, berkedudukan dan berkuasa di kalangan umat Islam.

Tidak cukup hanya setakat ini, mereka telah mendirikan sekolah-sekolah, institusi-institusi pengajian tinggi dalam negara Islam dengan mengajarkan atheis ke dalam jiwa anak Islam. Mereka mengajar anak-anak Islam bagaimana rendah diri mereka, menghina agama mereka, tanahair mereka, meninggalkan segala adat dan kepercayaan mereka dan mengagungkan tiap-tiap apa yang datang dari barat. Mereka meyakinkan bahawa apa yang dihasilkan oleh orang-orang Eropah sahaja merupakan contoh yang  unggul dalam hidup ini. Sekolah-sekolah ini mengandungi anak-anak Islam dari golongan  atasan sahaja dan sengaja dikhaskan untuk mereka. Anak- anak Islam dari golongan ini terdiri dari anak-anak para pembesar, pemerintah dan orang-orang yang akan mengambil alih kuasa pemerintahan umat dan rakyat tidak berapa lama lagi. Mana-mana pelajar belum cukup masak dengan ajaran mereka, hantaran biasiswa dijamin bagi menyempurnakan kematangan pelajaran itu.

Perang sosial yang teratur hebat itu berjaya menarik hati sesetengah umat Islam. Dia merupakan suatu perang yang sangat merbahaya, lebih bahaya dari perang politik dan tentera berpuluh kali ganda.

Setengah dari kalangan umat Islam cukup terpesona dengan tamaddun barat itu dan bercita-cita untuk mencelupkannya dengan celupan Islam.   Turki pun mengisytiharkan bahawa dia bukan lagi negara Islam dan akan mengikut Eropah. Amanullah Khan, Raja Afghanistan juga cuba mengikut jejak langkah itu tetapi percubaan itu ia telah membawa kepada penggulingannya. Di Mesir, trend pak turut ini menular dengan cepat sehingga kalangan yang terpengaruh terus terang mengatakan, “tidak ada jalan lain lagi  untuk kita maju melainkan dengan cara kita mengambil bulat-bulat tamaddun ini termasuk segala buruk dan baiknya, segala apa yang disuka atau tidak disuka dan segala hina dan mulianya”.  Dari Mesir trend ini merebak dengan cepat ke serata negara Islam di sekitarnya hingga sampai ke Afrika Barat dan Hijaz.

Berdasarkan terkesan tamaddun dan kebendaan ke atas negara-negara Islam ini, ianya boleh dibahagikan kepada 3 kelompok;

a)  Negara yang dikesani begitu teruk sekali sehingga ke hati dan perasaan di samping merubah segala kedudukan dan rupa bentuk. Antaranya; Turki dan Mesir. Pengaruh Islam di kalangan masyarakat telah merosot di negara-negara ini. Islam telah dilontar ke dalam masjid, surau dan pondok-pondok mengaji Islam sahaja.

b)  Negara yang terkesan hanya pada beberapa bentuk dan upacara-upacara rasmi sahaja seperti Iran dan negara- negara Islam utara Afrika.

c)  Kesanya hanya kepada orang tertentu sahaja iaitu golongan intelek dan pemerintah dan tidak melibatkan orang awam seperti Syria, Iraq, Hijaz, bahagian-bahagian di Semenanjung Tanah Arab dan Kerajaan- kerajaan Islam di sekitarnya. Walau bagaimanapun, gelombang bahaya ini bergerak begitu cepat untuk sampai ke tempat yang belum sampai sebelumnya, ke dalam jiwa, lapisan dan kedudukan masyarakat sekitarnya.

Musuh-musuh Islam berjaya menipu bijak pandai umat Islam dengan meletakkan satu tabir tebal dihadapan mata orang yang sayangkan agamanya dan menyatakan bahawa Islam itu hanyalah bentuk aqidah, ibadat, akhlak di samping beberapa upacara-upacara tertentu, khurafat dan manifestasi yang tidak bernilai. Kebodohan umat Islam terhadap hakikat agamanya sendiri turut membantu penipuan itu sehingga ramai di antara mereka yang berpuashati dan rela dengan gambaran yang diberikan itu.

Oleh kerana terlalu lama dalam keadaan demikian, menjadi kesukaran apabila kita hendak fahamkan kepada mereka bahawa Islam itu suatu sistem masyarakat yang sempurna mencakup segenap masalah hidup. Dengan ini boleh kita katakan bahawa tamaddun barat dengan prinsip kebendaannya telah menang dalam pertarungan sosial melawan tamaddun Islam sebagaimana mereka telah memenangi medan politik dan tentera.

Ini semua bukan suatu yang pelik kerana kenyataan hidup tidak berbelah bagi dan kekuatan itu terletak kepada semua dan begitu juga kelemahan terletak kepada semua. Firman Allah yang bermaksud; “Dan masa (kejadian dan kehancuran) itu Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran)”. (AL-Imran:140). Sekalipun prinsip-prinsip dan pengajaran Islam itu sendiri kuat, penuh kesuburan, hidup dan indah, maka ia akan tetap abadi sedemikian kerana dia adalah benar. Hidup manusia tidak akan tegak dengan sempurna dan mulia tanpanya. Sebab dia adalah ciptaan Allah, sebagaimana firman Allah yang bermaksud;  “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al Qur’an dan Kamilah yang memelihara dan mengajarnya” (al Hijr:9). Firman Allah lagi yang bermaksud;

“Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayanya sekalipun orang-orang kafir tidak menyukainya” (at Taubah:32).

Kesedaran.

Sebagaimana pertarungan politik telah menimbulkan kesedaran perasaan kebangsaan kepada umat ini, maka penindasan dan kecelaruan sosial ini juga telah melahirkan kesan penyegaran semula fikrah Islam. Timbul suara di sana sini meminta supaya kembali kepada Islam, dipelajari hukum hakam dilaksanakan sistemnya. Akan tiba tidak lama lagi saat keruntuhan tamaddun kebendaan di atas kepala pendokong-pendokongnya. Ketika itu mereka akan merasakan betapa ruh mereka itu lapar meronta di hati dan di jiwa mereka. Di kala itu mereka tidak akan mendapat apa jua makanan, penyembuhan dan pengubatan melainkan dalam ajaran Al-Quran yang mulia ini. Firman Allah yang bermaksud; “Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepada mu pelajaran dari Tuhan mu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah dengan kurnia Allah dan rahmatNya hendaklah dengan itu meraka bergembira. Kurnia Allah rahmatNya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan”. (Yunus:58).

  1. DAKWAH KITA; DAKWAH KEBANGKITAN DAN MENYELAMAT

(a) Peninggalan yang berat.

Wahai saudara-saudara seIslamku, Allah menghendaki kita mewarisi peninggalan yang berat dengan bebanan tanggungjawab yang besar. Allah mahu sinar dakwah kamu ini menyinari segenap kegelapan. Allah telah memberi peluang kepada anda meninggikan kalimatNya dan syariatnya dengan mendirikan semula negara Islam yang baru. Firman Allah yang bermaksud;

“Sesungguhnya Allah pasti menolong orang menolong (agamanya), sesungguhnya Allah benar-benar maha kuat lagi maha perkasa” (al-Hajj:40).

(b) Matlamat am kita.

Apakah yang kita mahu wahai saudara-saudaraku..?

Adakah kita mahu mengumpulkan harta, sedang ia hanyalah bayangan yang akan lenyap. Atau adakah kita mahu kemasyhuran, sedangkan ianya akan hilang. Atau adakah kita mahu menjadi samseng di muka bumi ini..? Firman Allah yang bermaksud; “Sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah, dipesakakannya kepada siapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya (al A’raf:128). Dan kita juga membaca firman Allah yang bermaksud;

“Negeri akhirat itu Kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertakwa” ( al Qasas:83).

 Allah menjadi saksi bahawa kita tidak mahu itu semua dan kita tidak mengajak manusia kepadanya, tetapi ingatlah saudara sekelian,  bahawa anda semua mempunyai dua matlamat asasi;

a)  Membebaskan tanahair Islam dari sebarang kuasa asing. Ini adalah hak semula jadi setiap insan dan tidak boleh ditolak kecuali orang zalim atau bersifat kuku besi.

b)  Menegakkan sebuah negara Islam yang  bebas mengamalkan undang-undang Islam, melaksanakan sistem Islam dalam masyarakat, mengiklankan prinsip-prinsipnya dan menyampaikan dakwahnya kepada manusia. Selagi ia tidak tertegak, seluruh umat Islam adalah berdosa dan bertanggungjawab di hadapan Allah ‘azza wa jalla atas kecuaian dan kelemahan mereka. Menjadi suatu kezaliman kepada seluruh manusia dalam keadaan sekarang ini bila tertegaknya negara-negara yang berdiri atas prinsip-prinsip zalim dan melaungkan slogan-slogan jahat tetapi tidak ada di kalangan manusia ini orang yang berusaha untuk menegakkan sebuah negara yang hak, adil dan sejahtera.

Kita mahu melaksanakan 2 matlamat ini di Lembah Nil, Negeri-negeri Arab dan di setiap bumi yang beraqidah Islam iaitu kerana agama, nasionaliti dan aqidah telah menyatukan seluruh mereka.

(c) Matlamat Khas Kita.

Selepas dua matlamat tadi, kita mempunyai beberapa matlamat khas pula dimana masyarakat tidak akan menjadi sempurna Islam tanpanya.  Ingatlah wahai saudaraku,  Lebih 60% dari rakyat Mesir hidup lebih rendah dari binatang. Mereka berhempas pulas untuk mendapat sesuap makanan. Negeri Mesir diancam kebuluran dan terdedah kepada pelbagai masalah ekonomi yang tidak diketahui bagaimana untuk mengatasinya kecuali Allah. Di Mesir terdapat lebih dari 320 syarikat asing yang memonopoli sektor awam di seluruh negara. Jentera-jentera perniagaan, perkilangan dan sektor-sektor ekonomi semuanya di tangan asing yang mengenakan riba. Segala kekayaan harta benda secepat kilat berpindah ke tangan mereka dari tangan peribumi. Mesir merupakan negara yang paling teruk menderita pelbagai penyakit dan kecacatan. Lebih dari 90% rakyat Mesir diancam oleh penyakit tubuh badan dan kecacatan

pancaindera. Sampai sekarang lebih dari 80  % penduduk Mesir masih lagi mengalami buta huruf. Lebih dari 100 000 orang yang berpelajaran pula hanya sekadar sekolah rendah.

Jenayah berganda sehingga yang keluar dari penjara lebih ramai dari sekolah. Di samping itu hingga kini, Mesir tidak mampu untuk menyediakan pasukan tentera yang lengkap sempurna. Keadaan yang sama berlaku di seluruh dunia  Islam. Menjadi matlamat anda sekalian untuk berusaha memperbaiki mutu pelajaran, memerangi kemiskinan, kejahilan, penyakit, jenayah dan membentuk masyarakat yang contoh yang layak dipanggil Islam.

(d) Wasilah Am Kita.

Bagaimana kita boleh sampai ke matlamat-matlamat ini…?

Syarahan-syarahan, ceramah-ceramah, surat, kursus dan mengkaji sebab kelemahan, kesemua ini adalah tidak mencukupi dan tidak banyak memberi faedah untuk sampai kepada matlamat yang disebut tadi. Dalam setiap dakwah ada cara yang perlu diambil dan dilaksanakan. Cara-cara am untuk berdakwah tidak lebih dan tidak kurang dari 3 perkara;

1.  Iman yang mendalam.

2.  Pembentukan yang rapi.

3.  Kerja terus menerus.

Inilah wasilah kita secara umumnya wahai saudaraku.  Percayalah dengan fikrahmu, berkumpullah dan berusahalah dengan teguh.

(f) Wasilah Tambahan.

Selain cara-cara am tadi, terdapat cara sampingan yang kadngkala perlu diambil dan diikuti. Ada yang positif dan ada yang negatif. Ada yang selaras dengan uruf setempat dan ada yang menyalahi dan bertentangan. Ada yang lembut dan ada yang keras. Kita perlu melatih diri kita mengikuti kesemua bentuk tersebut dan bersedia demi menjamin kejayaan Islam. Kadangkala kita dituntut supaya menyanggahi adat dan kebiasaan. Kadangkala kita diminta keluar dari cara kebiasaan orang ramai. Sebenarnya tidak di katakan hakikat dakwah melainkan terpaksa keluar dari kebiasaan orangramai manusia dan bangun merubah segala adat kebiasaan.

Apakah anda sekelian bersedia untuk itu wahai saudaraku?

(g) Keraguan.

Ramai orang akan berkata; apa guna wasilah-wasilah ini.? Adakah ia akan mampu membangun dan menyusun masyarakat yang telah tenggelam dalam masalah dan gejala yang begitu parah ini.? Bagaimana kamu hendak memperbaiki ekonomi tanpa menggunakan riba..? Bagaimana kamu hendak lakukan dengan wanita.? Bagaimana kamu mampu merampas semula hak kamu tanpa menggunakan kekuatan.?

Ketahuilah wahai saudaraku..

Segala was-was syaitan yang dicampakkan ke dalam cita-cita setiap muslih itu (reformis) akan dihilangkan oleh Allah. Dia amat mengetahui dan bijaksana. Peringatkan kepada mereka, sejarah pernah menceritakan kepada kita kisah umat-umat yang telah lalu dan kini. Ianya mengandungi pelbagai pengajaran dan penyedaran. Umat yang berjuang untuk hidup tidak mungkin akan mati.

(h) Halangan-halangan di jalan kita.

Suka saya berterus terang kepada anda semua.. sesungguhnya dakwah anda ini masih belum dikenali oleh ramai. Pada hari mereka mengenali dan mengetahui matlamat dan objektifnya, ia akan menerima tentangan yang hebat. Anda akan dapati di hadapan kamu berbagai kesusahan dan halangan yang akan menghalang anda. Pada masa itu barulah sebenarnya anda mula mengikut jejak ahli-ahli dakwah. Sekarang mereka masih belum mengetahui lagi. Anda masih di peringkat awal dakwah dan anda perlu bersedia dengan keperluan perjuangan dan jihad.

Kejahilan rakyat tentang hakikat Islam akan menjadi penghalang jalan dakwah anda. Anda akan dapati sesetengah ahli-ahli agama dan ulama-ulama rasmi merasa pelik dengan fikrah anda. Mereka akan menentang jihad anda. Para pemimpin, ketua, orang-orang kenamaan dan mempunyai kuasa akan membenci anda. Semua  pemerintah akan bekerjasama menghalang anda, cuba menyekat aktiviti-aktiviti anda dan meletak halangan di tengah jalan dakwah anda.

Lanun-lanun itu juga akan berganding bahu untuk menentang dan memadam sinar dakwah anda. Mereka akan meminta bantuan pemerintah-pemerintah yang lemah dan orang yang berakhlak buruk untuk tujuan yang sama. Anda akan dimusuhi dan di benci. Anda akan difitnah dan ditohmah. Mereka akan berusaha menampilkan segala kekurangan terhadap dakwah anda.

Dengan kekuatan dan kekuasaan yang ada pada mereka, mereka cuba menampakkan anda kepada orangramai dengan gambaran yang paling hodoh. Mereka akan menindas dengan harta dan kuasa mereka. Firman Allah yang bermaksud;  “Mereka itu mahu memadamkan agama Allah dengan mulut mereka dan Allah penyempurna agamaNya sekalipun di benci oleh orang-orang kafir” (as Saff:8).

Ketika itu anda akan memasuki era cubaan dan ujian (mehnah). Anda akan dipenjara, ditangkap, dipencilkan dan di rampas segala harta benda kamu. Segala kerja anda akan disekat dan rumah anda akan digelidah. Mungkin masa ujian ini akan menjadi begitu panjang. Firman Allah yang bermaksud; “Apakah manusia itu mengira mereka akan ditinggalkan begitu saja untuk berkata kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji” (al Ankabut:2).

Tetapi Allah telah berjanji kepada anda selepas kesemuanya ini iaitu kemenangan orang-orang mujahidin dan pahala orang yang berusaha baik. Firman Allah yang bermaksud;  “Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu ditunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih” (as Saff:10). Maka apakah anda akan tetap menjadi penyokong-penyokong Allah?

(I) Faktor-Faktor Kejayaan.

Suatu kemestian yang perlu disebut di sini wahai saudaraku,  Di dalam segala rintangan ini, kita perlu ingat bahawa kita berdakwah kepada Allah. Ianya adalah dakwah yang paling tinggi. Kita mengajak dengan fikrah Islam, suatu fikrah yang paling kuat. Kita kemukakan kepada manusia Syariat al Quran iaitu syariat yang paling adil. Firman Allah yang bermaksud; “Celupan Allah dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah” (al Baqarah:138) Seluruh alam memerlukan dakwah ini. Setiap yang ada di dalamnya bersedia memberikan jalannya.

Kita sesungguhnya bersyukur kepada Allah kerana kita terlepas dari ketamakan untuk diri sendiri dan jauh dari kepentingan diri. Kiita tidak bermaksud selain dari Allah dan kebajikan manusia. Kita tidak bekerja melainkan kerana mencari keredhaanNya. Kita sesungguhnya sentiasa menunggu sokongan dan pertolongan dari Allah. Sesiapa yang ditolongkan oleh Allah maka dia  tidak akan kalah. Firman Allah yang bermaksud;  “Yang demikian itu kerana sesungguhnya Allah adalah pelindung orang-orang beriman dan kerana sesungguhnya orang-orang kafir itu tiada mempunyai pelindung” (Muhammad:11).

Kekuatan dakwah kita, keperluan dunia kepadanya, kemurnian tujuan kita dan sokongan Allah kepada kita adalah faktor-faktor kejayaan kita yang tidak dapat digugat oleh sebarang galangan dan tidak dapat dihalang oleh sebarang halangan. Firman Allah yang bermaksud;  “Dan Allah berkuasa terhadap urusannya tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui” (Yusuf:21).

10. WASIAT

Wahai saudaraku, dengarlah!.

Apa yang saya mahu dari kalimat-kalimat ini ialah untuk membentangkan fikrah anda di hadapan anda sekelian. Boleh jadi detik-detik getir sedang menanti kita menyebabkan kita akan berpisah. Pada ketika itu saya tidak akan dapat lagi bercakap atau menulis kepada kamu. Oleh itu saya berwasiat kepada anda sekelian; telitilah kalimat ini, ingatilahnya sedaya yang boleh dan bersatulah padanya. Sesungguhnya setiap kalimat ini mengandungi erti-erti yang sangat padat.

Wahai saudaraku;

Anda sekelian bukan satu pertubuhan kebajikan, bukan parti politik, juga bukan suatu badan yang dibentuk untuk tujuan-tujuan terbatas.  Anda sebenarnya adalah suatu roh baru yang mengalir di hati umat ini dan dihidupkan dengan al Quran. Anda adalah suatu suara yang bergema tinggi melaungkan dakwah Rasulullah saw. Tidak keterlaluan jika anda merasai bahawa anda adalah penanggung beban Kenabian setelah kesemua manusia enggan melakukakannya.

Andainya anda ditanya, kamu mengajak kepada apa..? Katakanlah, kami mengajak kepada Islam yang di bawa oleh Nabi Muhammad saw. Pemerintahan adalah sebahagian daripada ajarannya. Kebebasan adalah salah satu dari tuntutannya. Jika dikatakan kepada anda.. ini adalah politik. Katakanlah inilah dia Islam dan kami tidak tahu pembahagian seperti ini. Andainya mereka mengatakan kamu penyeru revolusi. Katakanlah, kami adalah penyeru kebenaran dan kedamaian. Jika kamu mengganggu dan menghalang dakwah kami, Allah telah membenarkan kami mempertahankan diri dan kamu adalah pengacau yang zalim. Andainya dikatakan kepada anda; kamu meminta bantuan dari orang tertentu atau mana-mana pertubuhan. Katakanlah, kami hanya beriman kepada Allah sahaja dan kami kufur dengan segala sekutu-sekutu. Jika mereka berkeras meneruskan permusuhan mereka, katakanlah.. kami tidak mahu orang-orang yang jahil.

11. KEWAJIPAN.

Wahai saudaraku;

Berimanlah kepada Allah, berbanggalah dengan mengenali dan bergantung kepadaNya. Janganlah kamu takut dan gerun selain dari-Nya. Tunaikanlah segala kewajipanNya dan jauhilah larangan-Nya. Berakhlaklah dengan akhlak yang mulia dan sempurna. Jadilah orang-orang yang mantap dengan akhlak, mulia dengan apa yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu iaitu kemuliaan orang mukmin dan orang-orang yang bertakwa.  Tatapilah dan kajilah al Quran. Bincanglah Seerah Nabimu. Jadilah orang yang beramal dan bukannya orang yang suka bercakap dan berdebat. Bila Allah memberikan hidayat kepada seseorang, maka diberinya ilham untuk beramal. Sesuatu kaum itu tidak sesat selepas mereka mendapat petunjuk kecuali orang-orang yang suka berdebat. Kasih mengasihilah di antara kamu dan jaga serapi-rapinya ikatan kamu kerana ia merupakan rahsia kekuatan kamu dan tunjang kejayaan kamu. Tetapkanlah diri kamu sehingga Allah membuka di antara kamu dan kaummu dengan kebenaran. Dialah sebaik-baik pembuka.

Dengar dan patuhlah kepada pemimpin kamu di masa susah dan senang, ketika segar dan lesu. Mereka adalah simbol fikrah kamu dan penghubung di antara kamu.  Selepas itu tunggulah kemenangan dan sokongan dari Allah. Peluang tetap akan datang dan janganlah ragu.

Pada hari itu orang-orang mukmin akan merasa gembira dengan pertolongan Allah. Allah akan menolong sesiapa yang dikehendakinya. Dia Maha Berkuasa lagi Penyanyang (Al-Ruum)

Allahu Akbar walil-Llahi- hamd.

RINGKASAN

1  Risalah Nabi saw – pemisah alam gelap dan cahaya dan pengisytiharan bagi satu sistem baru untuk manusia.

2  Quran menjelaskan segala usul pemulihan sosial berasaskan:  (rabbaniah/ ketinggian manusia/ akidah pembalasan/ ukhuwwah kemanusia/ takaful lelaki dan wanita/ jaminan sosial/ mengekang nafsu/ ketegasan undang-undang/ penyatuan ummat/ jihad menegakkan kebenaran/ kepentingan wujud negara Islam)

3  Perlunya amalan disamping teori. Kewajipan akan melahirkan hasil pemulihan manusia: (solat dan munajat / puasa dan iffah/ zakat dan infaq/ haji dan renungan/ kerja usaha/ jihad/ nasihat/ mencari ilmu/ muamalah yang baik/ menjaga jasad/ solidaritas sosial).

4  Tegak Negara Islam atas asas syumul ini. Lahir kesatuan kemasyarakatan, politik dll. Ia berjaya hancurkan keberhalaan, syirik, yahudi  dan kristian dari bumi Arab. Terus mara ke Eropah dari timur dan barat. Semua laut dikuasai oleh Islam.

5  Umat Islam mengambil semua tamaddun dunia dengan tapisan Islam.

6  Faktor kelemahan mula menyerap: (perselisihan politik dan perebutan kuasa/ agama menjadi cakap dan perdebatan/ tenggelam dalam kemewahan/ perpindahan kuasa kepada bukan Arab/ lalai ilmu Sains/ ghurur dengan kekuatan sendiri/ terdaya dengan kuffar – jadi pak turut)   Pertarungan politik :

7  Monggol menyerang, negara Islam pecah, Kristian ambil peluang.

8  Umat mula sedar- Solahuddin & Zahir Baybars menangkis – Islam tegak kembali dan menawan Istanbul melalui Othmaniah.

9  Eropah menggunakan ilmu dari tamadun Islam bangkit – menawan Sepanyol. Mereka maju dengan cepat, meneroka dan mencipta.

10  Serangan baru – menjajah negeri Islam dan menghancurkan Othmaniah selepas perang dunia I. Pusaka Othmaniah dibahagikan sesama kristian.

11 Umat bangkit kembali – menuntut kebebasan dan kemerdekaan.   Pertarungan Kemasyarakatan.

12 Tamaddun Islam membuka mata Eropah – ditentang oleh gereja -penyiksaan – akhirnya gereja kalah dan dicampakkan ke ruang yang sempit.

13 Kemajuan berterusan dan agama diketepikan – kehancuran mula terserlah kerana terlalu kebendaan : (Menolak tuhan/ kebebasan tanpa sekatan/ kebebasan individu/ riba dll) Eropah gagal membahagiakan manusia.

14 Cengkaman kebendaan menular ke dalam umat Islam – barat ekspot materialism dan menghalang unsur kekuatan.

15 Eropah menguasai ekonomi umat, membawa cara hidup mereka, membina sekolah untuk serangan pemikiran.

16 Umat Islam mula kagum dengan barat dan cuba membuang Islam (Turki). Islam digambarkan secara silap.

17 Eropah menang dalam perang sosial selepas perang politik.   DAKWAH KITA ADALAH PENYELAMAT:

18 Beban adalah berat. Kita tidak inginkan harta dan pangkat tetapi kita mahu : (bebaskan tanahair Islam dan mendirikan daulah Islam).

19 Kemudian kita mahu membaiki keilmuan  masyarakat Islam, mutu kehidupan dan membuang penyakit dan jenayah.

20 Cara kita : Iman yang mendalam, pembentukan yang rapi dan kerja yang berterusan. Wasilah kita ialah semua cara yang syar’I – terpaksa berdepan dengan masyarakat untuk buat perubahan.

21 Akan ada orang yang memandang remeh kerja ini dan menganggap tidak mampu merubah.

22 Dakwah ini belum dikenali – orang ramai, kerajaan dan negara-negara akan menentang bila mereka tahu. Tohmahan, fitnah akan terjadi. Penjara, siksaan dan pengusiran mesti berlaku.

Bersedialah !

23 Kita akan menang – (sebaik-baik dakwah, keperluan manusia, kesucian niat kita dan pertolongan Allah) menguatkan keyakinan kita.

24 Perlu segera menyahut seruan, mengukuh fikrah dan kesatuan.

25 Kita bukan parti politik, bukan badan kebajikan atau persatuan terhad. Kita adalah roh baru untuk ummat manusia.

26 Dakwah kita – Islam dan politik sebahagian darinya.

27 Kita bukan golongan penentang tetapi akan menentang sesiapa yang menghalang kebenaran.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: